Tidak ada manusia yang suka diperlakukan tidak jujur atau pun ditipu. Inilah fitrah semula jadi manusia sejak dilahirkan. Kerana itulah agama mengutuk dan melarang sifat tidak jujur atau penipu. Ia bukan hanya semata-mata sebagai kehendak Tuhan untuk setiap hamba melakukan kebenaran. Tetapi ia adalah sesuatu yang terbaik dan diingini oleh setiap manusia.
Di dalam persahabatan, berlaku benar itu sering diperhatikan bahkan menjadi salah satu faktor untuk melabel atau mengiktiraf seorang teman itu sebagai seorang sahabat kita. Ini kerana persahabatan adalah hubungan yang memerlukan rasa saling memahami antara satu sama lain.
Justeru, daripada sikap benar itu lah seorang sahabat akan berusaha untuk memahami kehendak temannya. Sekiranya salah seorang daripada mereka tiada sikap untuk sentiasa berlaku benar, sememangnya adalah sukar untuk dia mendapat perhatian daripada sahabatnya supaya difahami mengenai perihal dirinya.
Seseorang itu sekiranya hendak memahami sahabatnya perlu dengan bertanya secara terus terang, memerhatikan sikap, perlakuan, bahasa tubuh badan, mimik muka, dan sebagainya. Semua orang mahu difahami supaya kehendaknya dapat dipenuhi. Setiap orang juga mahu diberikan perhatian supaya perasaannya lebih selesa.